Saturday, May 9, 2015

Hang Mahasiswa #4

Hang Mahasiswa terkedu, sedang cuba untuk percaya apa yang dilihatnya itu. ‘File’ tersebut bukan sahaja pelik malah menyeramkan. Hang Mahasiswa cuba untuk mengeja satu persatu perkataan seperti kanak-kanak di tadika yang berumur 6 tahun yang cuba untuk mengeja perkataan di dalam buku sekolahnya itu.

Walaupun Hang Mahasiswa tidak begitu fasih bertutur bahasa barat namun
dia masih mampu untuk memahami maksud perkataan pada nama ‘file’ tersebut iaitu ‘I know where your food is.doc’.

Meremang bulu roma badannya. Tangannya mengigil seperti mempunyai penyakit ‘Parkinson’. Tidak pernah dia berasa setakut ini. Namun setakut-takut Hang Mahasiswa, kelaparan masih terasa, lalu disuap nasi beserta telur dan kicap ke dalam mulutnya. Dikunyah beberapa kali dan telan.

Dilihat masa yang tertera di bawah kanan komputer ribanya, masa yang dipamerkan ialah 11:25am. ‘File’ tersebut di’create’ pada pukul 10.46am dan itu adalah masa ketika dia sedang berkaraoke di tandas sambil membersihkan badannya yang tengik itu. Hang Mahasiswa bertambah seram. Namun masih tidak mampu untuk memberhentikan dirinya dari menyuap makanan di hadapannya itu sehingga licin pinggannya akibat hampir kebuluran.

Hang Mahasiswa bergegas ke dapur untuk mencuci pinggannya sepantas mungkin sehingga basah bajunya disebabkan percikan air dari basuhan tersebut. Tanpa menghiraukan bajunya yang basah itu, Hang Mahawasiswa kembali ke komputer ribanya. Ditenung skrin komputernya dan mengumpul sisa-sisa keberanian untuk membuka file puaka tersebut. Pelbagai kemungkinan yang bermain di mindanya. Adakah ini hantu? Adakah ini satu mimpi? Adakah ini satu kerja rakannya untuk mengenakan dia? Adakah ini satu supernatural? Adakah kucing pandai menggunakan komputer?

*double click

Dokumen 1 muka itu hanya bertulis 3 perkataan

“jangan pandang atas”

Suasana menjadi sunyi secara tiba-tiba, hanya kedengaran jantung Hang Mahasiswa berdegup kencang dan kuat seperti degupan jantung watak di dalam filem seram apabila watak tersebut terdiam dan terasa hantu berada dibelakangnya. Hang Mahasiswa tidak sangka perkara tersebut boleh berlaku di dunia nyata, apatah lagi berlaku ke atas dirinya sendiri. Ayat di dalam dokumen tersebut dibacanya berulang kali untuk difahamkan maksud tersebut. Adakah ini satu cabaran ataupun satu amaran.

Hang Mahasiswa tekad, untuk membuka langkah seribu keluar dari rumah tersebut dan pergi ke rumah kawannya yang terletak di Kondominium Kristal. Dengan perlahan Hang Mahasiswa menyarung seluar jeans kegemarannya yang dibelinya ketika raya tahun yang lalu berjenama Levi’s, kunci motor dan begnya serta jaketnya diambil dan terus sahaja berlari keluar pintu rumah. Tombol pintu sempat dikuncinya kerana sudah menjadi tabiatnya untuk mengunci keluar rumah kerana rumahnya pernah dipecah masuk dan banyak komputer riba milik teman rumahnya dicuri ketika semua ke kuliah.

Lariannya seperti tidak cukup tanah, menuruni anak tangga dengan pantas sehingga hampir melanggar seorang makcik yang baru pulang daripada membeli makanan tengahari untuknya dan anaknya yang bersekolah rendah bersebelahan blok tersebut.

“Sorry kak Sal, emergency” terang Hang Mahasiswa kepada makcik tersebut dengan panggilan ‘Kak Sal’ kerana rupanya yang tak dimamah usia walaupun sudah berumur 30-an. Kak Sal hanya tersenyum melihat gelagat anak muda itu lalu berkata “Apakeheinya kome ni laju bebeno laghinya (larinya). Macam Nampak hantu je?”

Hang Mahasiswa hanya tersengih dan terus ke motornya , memakai helmetnya dan mula menghidupkan enjin motornya itu dengan menggunakan starter pada ‘handle’ kanan motornya itu. Motor sudah hidup, dan Hang Mahasiswa terus memulas ‘throttle’ motornya dan kemudian menukar gear motor tersebut. Hasil daripada itu, Hang Mahasiswa berjaya membuat ‘wheelie’ selama beberapa meter dan ditonton serta disorak oleh beberapa orang kanak-kanak yang cita-citanya untuk menjadi mat rempit yang bermula dengan menjadi mat rempit ‘junior’ dengan membuat wheelie dengan menggunakan basikal.

Tanpa menghiraukan mereka yang bersorak itu, Hang Mahasiswa terus memperlahankan motornya dan memandunya seperti seorang pemandu yang berhemah dan berkata kepada kanak-kanak tersebut.

“Jangan merempit, Ingatlah orang tersayang” kanak-kanak tersebut terdiam sentap.

Selesai memberi tazkirah pendek kepada kanak-kanak tersebut, Hang Mahasiswa terus menuju ke jalan besar untuk ke rumah temannya yang berada di Kondominium Kristal yang terletak bersebelahan fakultinya yang dipisahkan oleh tembok besar.

Dahulunya di dalam Kondominium Kristal terdapat satu laluan untuk pelajar mengakses ke dalam UiTM, namun laluan tersebut telah di tutup dan Hang Mahasiswa tidak begitu jelas sebab apa laluan itu ditutup dan pelajar diarahkan untuk menggunakan pintu utama untuk ke kampus.

Namun masih ada beberapa pelajar yang memanjat tembok tersebut disebabkan tidak mempunyai kenderaan untuk ke kampus. Ada juga pelajar yang pada mulanya menyewa di kondominium tersebut kerana mudah untuk mengakses ke kampus dengan adanya laluan tersebut, tetapi disebabkan laluan itu ditutup, ramai diantara mereka sudah berpindah ke rumah sewa yang lebih murah.

Setibanya Hang Mahasiswa di hadapan Kondominium Kristal, motornya diparkir di bahu jalan sebelah kanan laluan masuk ke kondominium tersebut. Hang Mahasiswa berjalan ingin ke rumah temannya itu namun dihalang oleh pak guard yang berasal daripada Bangladesh itu lalu disoal siasat oleh pak guard tersebut.

“Hey, adik mana mau pigi?”

“Saya nak ke rumah kawan saya”

“Mana rumah kawan?”

“Tu blok 3 sana”

“Ok, kasi tinggal itu lesen sini”

“Ala, bang, itu dompet hilang la. Tak payahla lesen-lesen”

“Aiyo itu macam ka? Ok takpa.”

Hang Mahasiswa terus saja berlalu ke rumah temannya yang terletak di bangunan paling hujung itu. Disebabkan rumah temannya terletak di aras 9, Hang Mahasiswa terpaksa menggunakan lif untuk ke rumah temannya. Kelihatan lif sudah berada di tingkat G dan Hang Mahasiswa terus menekan butang naik. Pintu lif dibuka dan Hang Mahasiswa terus menekan nombor 9 di dalam lif tersebut. Ketika pintu lif ditutup secara automatik, terdengar suara merdu seorang gadis bak bidadari menjerit

“Tunggu!”

Hang Mahasiswa terus menekan butang buka pada dinding lif tersebut. Kelihatan seorang gadis bayanya masuk ke dalam lif dalam keadaan yang tercungap-cungap sambil menjinjing banyak beg plastik berlogo GIANT di kiri dan kanan yang kelihatan amat berat. Hang Mahasiswa dengan lagak seperti ‘gentlemen’ bertanya kepada gadis tersebut.

“Tingkat berapa?”

“Tingkat 6 ya, thanx!” balas gadis tersebut sambil tersenyum. Melihat pada senyuman gadis itu, Hang Mahasiswa terpukau dengan senyuman gadis tersebut dan terasa telinganya panas dan terasa tulang rusuk kirinya bergetar. Butang 6 ditekan. Lidah terkelu untuk mengeluarkan kata-kata kepada gadis tersebut. Dengan terketar-ketar, Hang Mahasiswa berkata

“B..b..banyak shopping, nn..n..nnak buat m..mm..makan-makan ke?”

“Eh, takdelah, barang basah dah habis da kat rumah. Minggu ni turn saya kena beli.”

“Owh, l..l..larat ke nak angkat barang-barang ni? Nak saya tolong?”

“Eh, tak susahkan awak ke?”

“Tak pun (Hilang gagap terus, tunjuk macho).”

“Kalau macam tu boleh jugak. Awak tolong angkat yang ni ya?”

“Saya angkat semua pun takpe. Saya kuat orangnya.”

“Hahaha. Kelakar la awak ni, masuk bakul angkat sendiri. Hikhik.”

Mendengar pujian gadis tersebut, Hang Mahasiswa terasa mukanya merah padam menahan malu. Bak kata orang di barat, ‘blushing’. Sampai sahaja aras 6, Hang Mahasiswa mengangkat semua barang-barang gadis tersebut lalu dibawa ke rumah sewa gadis tersebut. Sampai di hadapan rumah, gadis tersebut membuka pintu rumah dan mengarahkan Hang Mahasiswa meletakkan barang-barangnya di depan pintu sahaja. Gadis tersebut mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Hang Mahasiswa.

“Terima kasih ya…err..ape ya nama awak? Saya lupa pulak nak tanya.”

“Nama abang..eh silap, nama saya Hang Mahasiswa. Boleh panggil saya Iswa.”

“Ok, terima kasih Iswa. By the way, nama saya Siti Nurrohayu, boleh panggil saya Ayu.”

“Sama-sama Ayu. Sedap nama awak Ayu.”

“Ehehe, biasa je. Nama awak pun sedap, unik.”

“Hehe. Ok lah Ayu, Iswa nak ke rumah kawan Iswa kat atas. Kalau nak buat makan-makan jemputlah saya. Hehe”

“Hahaha. Ye lah Iswa. Jaga diri ya.”

Ayu senyum terhibur dengan jenaka Hang Mahasiswa. Hang Mahasiswa berlalu pergi ke arah lif. Butang atas ditekan. Sementara menunggu lif, kelihatan Ayu sedang berjalan ke arahnya dengan sekeping kertas. Dihulur kertas kepada Hang Mahasiswa sambil tersenyum dan terus berlari anak masuk ke rumahnya.

“Ini nombor Ayu wink emoticon , 019-*******”

Hang Mahasiswa terkinja-kinja menari di hadapan lif, gembira bukan kepalang kerana mendapat nombor seorang gadis ayu bernama Ayu. Pertemuan Hang Mahasiswa dengan ayu telah melupakan kisah seram dirumahnya sebentar tadi. Sedang Hang Mahasiswa leka menari-nari dihadapan lif, pintu lif terbuka dan…..

Bersambung….

No comments:

Post a Comment