Saturday, May 9, 2015

Hang Mahasiswa #3

Hang Mahasiswa terkejut disebabkan makanan yang ada di atas meja dapur hanyalah nasi yang dibungkus di dalam bekas polistrin sahaja. Lauknya tidak ada sekali di dalam plastik tersebut.

Hang mahasiswa kaget, berdiri seorangan di dapur sambil
merenung plastik tersebut lalu cuba mengimbau kembali memorinya ketika membeli makanan di gerai tadi. Dia amat yakin yang dia telah ambil lauknya yang diikat dengan gelang getah berwarna jingga oleh makcik tersebut. Masih lagi terngiang-ngiang lagu Sakitnya tuh Di Sini ketika Hang Mahasiswa mengimbau memori tersebut.

Baju yang Hang Mahasiswa dapat sempena mewakili fakultinya dalam acara larian SAF untuk Sukan Antara Fakulti (SAF) 2013 bercorak kepala singa dibelakang itu disarung dan terus turun ke bawah rumah untuk memastikan lauknya tidak tinggal di dalam bakul motornya tetapi hampa, tiada hasil. Hanya ada mangga tetapi bukannya buah. Hang mahasiswa naik ke rumahnya semula dan duduk terdiam sambil memikirkan logik di sebalik kehilangan lauknya.

Lagaknya seperti seorang penyiasat yang sedang menyelesaikan kes pembunuhan yang berlaku. Gambar keluar di dalam mindanya seperti Sherlock Holmes, sebuah watak penyiasat atau lebih tepat dikenali sebagai 'consulting detective' yang direka oleh Sir Arthur Conan Doyle di dalam novel dan cerita pendeknya. Namun kini ceritanya sudah difilemkan di dalam dua filem dibintangi oleh Robert Downey Jr. dan ada juga cerita bersiri Sherlock Holmes zaman moden yang dilakonkan oleh Benedict Cumberbatch.

1) Jika nak dikata rakan rumahnya yang mengenakan 'prank' kepadanya, tidak sama sekali kerana kesemuanya sudah ke kampus dan sedang menghadap muka pensyarah masing-masing.
2) Nak dikata hantu, siang-siang mana ada hantu. Hantu yang mengilai pun rumah anak dara yang terletak di bahagian hujung blok 40, bersebelahan Sekolah Rendah Seksyen 7, yang mengilai di siang hari.
3) Kucing? Tidak sama sekali kerana semua pintu dan tingkap di rumahnya yang boleh diakses oleh haiwan tersebut tertutup rapi.

Penat memikirkan di mana logiknya kehilangan lauknya, Hang Mahasiswa bergegas ke dapur rumahnya dan meletakkan pan ke atas dapur dan menghidupkannya dengan api yang sederhana. Api menyala, minyak diletak ke dalam pan. Kemudian Hang Mahasiswa mencapai mangkuk yang dibelinya di Gaint Seksyen 7 dan dua biji telur dan dipecahkan telur ke dalam mangkuk dan letak secubit garam ke dalam mangkuk yang sama.

Bila sebut tentang telur, Hang Mahasiswa teringat video yang dimuatnaik oleh Youtuber Malaysia, Mathlutfi90, yang membuat lawak.

Mat : "Alamak habih plak, Epi, nak teloq hang"
Epi : "Nak berapa?"
Mat : "Nak dua"
Epi : "Nanti habis laa!"
Sambil masing-masing gelak sinis ke arah satu sama lain sambil menutup mulut.
(Kecelaruan Mat Lu Mat, Mathlutfi90, 2014)

Hang Mahasiswa tersengih seorangan di dapur seperti kerang busuk. Telur dan garam di dalam mangkuk tersebut dikacau dan diletakkan ke dalam pan yang sudah panas minyaknya itu. Kebiasaan Hang Mahasiswa akan memotong bawang dan digaulkan sekali bersama telur tetapi bawang sudah dihabiskan oleh kawan rumahnya semalam untuk masak nasi goreng.

Lapisan bawah telur sudah masak, dengan lagak seperti Chef Ramsey yang pernah menjadi host untuk Hell's Kitchen, Hang Mahasiswa cuba menterbalikkan telur dadarnya itu hanya dengan menggunakan pan. Dengan mengenakan daya pada pemegang pan tersebut, Hang Mahasiswa membuat percubaan untuk menterbalikkan telur tersebut.

Tetapi aksinya itu tidak membuahkan hasil cemerlang. Harapan di hati Hang Mahasiswa ingin membuat telur dadar terus tidak kesampaian kerana rupa bentuk telur tersebut adalah seperti telur hancur yang di negara barat dipanggil 'scrambled egg'. Walaupun perasaan hampa hinggap di hati Hang Mahasiswa namun untuk menyejukkan hati, Hang Mahasiswa berkata

"Takpe, nanti dah tahu la camne nak scramble the egg"

Selesai masak telur dadar yang tidak menjadi, Hang Mahasiswa menutup api dapur dan menggapai pinggan percuma Darlie yang terletak bersebelahan dengan sinki dapur tersebut. nasi di dalam polistrin dipindahkan ke dalam pinggan terlebih dahulu dan kemudian telur dadar yang masih lagi hangat dan memberi bau yang sangat enak kepada Hang Mahasiswa yang hampir kebuluran seperti tidak makan 3 hari. Kicap kegemarannya iaitu kicap kipas udang diletakkan di atas nasi sebagai kuah.

Selesai penyediaan makanan ala-ala pelajar kursus 'Food Serving', Hang Mahasiswa berhijrah dari daerah dapur ke daerah bilik tidur. Seperti kebiasaan pelajar universiti, tidak sah kalau makan kat rumah keseorangan atau bahasa di laman sesawang 'forever alone', tidak dihiburkan oleh filem atau drama korea.

Bagi Hang Mahasiswa, drama Korea dan k-pop tidak menarik perhatiannya namun cerita RunningMan dan juga Return of Superman mampu menghiburkan jiwanya. Dalam keadaan sekarang, beliau lebih mahukan cerita aksi, lalu Hang Mahasiswa membuat keputusan untuk menonton cerita lama Stephen Chow, Kung Fu Hustle yang boleh dikategorikan sebagai 'action comedy'.

Komputer ribanya berjenama ASUS yang baru dibelinya tahun lepas dengan menggunakan duit PTPTN dan tambahan dari duit simpanannya itu dihidupkannya. Dengan mempunyai spesifikasi Intel-i7, RAM 8GB, kad grafik Nvidia 760 GTX dan menggunakan Windows 7 dengan penjagaan rapi dalam memori dalaman, menghidupkannya mengambil masa hanya 15 saat tidak menjadi masalah baginya.

Apabila komputer ribanya telah sepenuhnya hidup, Hang Mahasiswa terlihat 1 nama dokumen pada 'desktop' nya itu yang membuatkan hatinya berdenyut laju.

bersambung.....

No comments:

Post a Comment